Generasi kedua FELDA harap inisiatif selesai isu projek PGBF

KUALA LUMPUR: Bajet 2019 diharap memberikan penyelesaian tuntas terhadap projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang belum selesai sejak diumumkan enam tahun lalu.

Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hasan, berkata generasi kedua FELDA mengharapkan kerajaan menyediakan inisiatif dalam Bajet 2019 bagi menyelesaikan pembinaan 20,000 rumah itu.

Projek PGBF

“Antara harapan belia FELDA dalam Bajet 2019 adalah berkenaan isu yang belum selesai, iaitu projek PGBF yang ketika ini membabitkan pembinaan kira-kira 8,000 unit rumah berbanding 20,000 unit rumah.

“Daripada jumlah itu, hanya 1,234 unit rumah siap dibina, itu pun hanya sebahagian sudah diserahkan kepada pembeli.

“Malah, kebanyakan lokasi projek PGBF terbengkalai kerana terlalu lama terbiar dan jika berterusan, kos untuk menyiapkan projek ini pasti lebih besar,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, dilaporkan berkata, FELDA memerlukan suntikan dana sebanyak RM955 juta untuk menyiapkan projek PGBF yang kini diklasifikasikan sebagai tergendala.

Projek PGBF diumumkan oleh kerajaan terdahulu ketika pembentangan Bajet 2013, yang mana 20,000 unit rumah akan dibina dalam tempoh lima tahun di tanah rancangan FELDA bagi memberi peluang kepada generasi baharu memiliki rumah.

Sedia peruntukan khas

Muhammad Fadzli berkata, Bajet 2019 juga diharap menyediakan peruntukan khusus kepada FELDA supaya tiada lagi tunggakan pembayaran wang sara hidup kepada peneroka.

“Wang sara hidup ini ibarat periuk nasi kepada peneroka dan MBFM harap tiada lagi penangguhan seperti sebelum ini,” katanya.

Muhammad Fadzli berkata, MBFM juga berharap kerajaan akan membuat pengumuman berhubung menghapuskan hutang tidak wajar peneroka FELDA seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.