Had umur layak mengundi 18 tahun dipersetujui

PUTRAJAYA 31 Okt. – Sebanyak 32 daripada 51 parti politik berdaftar di negara ini bersetuju had umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini.

Perkara itu dinyatakan oleh wakil-wakil parti politik berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada sesi perbincangan antara SPR dan parti-parti politik di sini hari ini.

Menurut Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, kesemua parti politik yang hadir tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung had umur itu.

Dalam perbincangan itu, parti-parti politik turut bersetuju dengan cadangan pendaftaran mengundi secara automatik.

“Perkara ini telah mendapat persetujuan kerajaan sebelum ini bagaimanapun ia perlu diberi penelitian dalam perkara-perkara tertentu seperti aspek pertukaran alamat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata, tujuan perbincangan pada hari ini adalah untuk mencari jalan penyelesaian terhadap beberapa isu yang sering dibangkitkan berkaitan daftar pemilih.

Antara perkara yang berbangkit katanya, usaha mengemaskini dan pembersihan daftar pemilih, cadangan pelantikan penolong pendaftar pemilih daripada wakil parti politik diwujudkan semula dan isu lokaliti yang tidak wujud.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, SPR kini dalam peringkat untuk melakukan analisis terhadap persempadanan semula bagi meneliti aspek-aspek tertentu khususnya berkaitan keadilan sewaktu keputusan persempadanan semula dibuat.

Dalam hubungan itu beliau berkata, sekiranya persempadanan semula yang dibuat tahun lalu bercanggah dengan perlembagaan maka SPR akan mengambil beberapa tindakan tertentu.

“Sekarang saya ingin buat analisis dahulu dan beri satu pendapat sama ada persempadanan itu adalah adil dan ikut perlembagaan.

“Jika ia tidak adil dan tidak ikut perlembagaan, saya ingin buat cadangan tentang bagaimana proses sebenar perlu dilakukan, tetapi ia sekadar cadangan sahaja bukannya melakukan proses persempadanan semula,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.