Merungkai Punca Kemelut Pendidikan TVET Negara

PUTRAJAYA (Bernama) — Harapan ke arah perubahan positif bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dilihat semakin cerah susulan penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk mencari penyelesaian isu-isu berkaitannya.

Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, yang ditubuhkan pada Jun lepas dengan dipengerusikan Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, menjadi bukti keseriusan kerajaan dalam menyelesaikan pelbagai isu TVET yang bagaikan tiada noktah dan hangat diperkatakan sejak beberapa tahun lalu.

Namun, untuk melaksanakan amanah itu bukanlah tugas mudah yang boleh diselesaikan sekelip mata oleh jawatankuasa berkenaan.

Pertindihan tugas yang melibatkan tujuh kementerian, sistem pendidikan, sistem pensijilan, kekangan dana pembangunan serta ketidaktentuan nasib graduan TVET adalah antara cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan jawatankuasa berkenaan.

LANDSKAP TVET MALAYSIA

Secara umumnya, pengurusan TVET digalas pihak kerajaan dan swasta. Kedua-dua pihak berkenaan pula menghadapi pelbagai isu dan cabaran tersendiri.

Berdasarkan struktur kerajaan terdahulu, terdapat tujuh kementerian melaksanakan TVET namun mengikut sistem pendidikan masing-masing.

Kementerian berkenaan ialah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) (kini Kementerian Pembangunan Luar Bandar) , Kementerian Pendidikan (KPM) (kini Kementerian Pelajaran), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) (kini Kementerian Pelajaran), Kementerian Sumber Manusia (KSM) , Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) (kini Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar).

Pengurusan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diuruskan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan.

Institusi di bawah TVET swasta pula menghadapi cabaran survival akibat pertindihan program yang ditawarkan oleh institusi kerajaan. Keadaan menjadi lebih sukar apabila peruntukan dana yang disalurkan kepada swasta terus dikurangkan walaupun adanya pertambahan peruntukan TVET dalam belanjawan negara.

Antara isu besar yang dihadapi pengendali pusat latihan swasta adalah mendapatkan kelulusan bagi para pemohon pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk pelajar menampung pengajian mereka.

Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB) Nordin Abdul Malek berkata pada masa ini, dianggarkan 30,000 pelajar masih menunggu jawapan bagi permohonan pinjaman PTPK.

“Peruntukan PTPK dikurangkan dari tahun ke tahun. Pada 2013 kerajaan memperuntuk RM380 juta kepada 18,095 peminjam…peruntukan semakin berkurangan iaitu RM330 juta pada 2014 (15,714 peminjam), pada 2015 sebanyak RM300 juta (14,285 peminjam) dan masing-masing RM200 juta pada 2016 dan 2017 (19,523 peminjam setiap tahun berkenaan) dan tahun ini pula sebanyak RM175 juta bagi 8,333 peminjam,” katanya.

Beliau berkata sekiranya jumlah pelajar yang mendapat pinjaman berkurangan, maka kuranglah pelajar mendaftar masuk ke pusat-pusat latihan swasta, yang seterusnya menyumbang kepada penyusutan jumlah tenaga mahir TVET.

Secara keseluruhannya, terdapat 1,901 institusi awam dan swasta di seluruh negara yang menawarkan 2,480 kursus TVET.

MASALAH UTAMA

Pada Perbincangan Meja Bulat TVET anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) baru-baru ini, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata masalah berbangkit dalam sistem TVET memberi kesan kepada banyak pihak.

Beliau berkata format sistem pendidikan sedia ada tidak memberikan ruang luas kepada pelajar untuk menyertai TVET manakala ketiadaan pensijilan seragam pula membuatkan pihak majikan keliru dengan status dan kualiti graduan TVET, yang dilahirkan oleh pelbagai institusi latihan.

“Sebelum ini, di Kementerian Pendidikan, ada Sijil Vokasional Malaysia dan Diploma Vokasional Malaysia. Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi pula ada sijil politeknik dan diploma politeknik, Sijil Modular Kebangsaan dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.

“Kementerian Sumber Manusia pula mengeluarkan Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia manakala Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pula memberi Sijil GiatMara, Sijil Institut Kemahiran Malaysia(IKM), Diploma IKM dan Diploma Teknologi,” katanya.

Kementerian Belia dan Sukan juga mengeluarkan sijil dan diploma teknologi serta Sijil Kemahiran Malaysia. Kementerian Pertanian memberi sijil-sijil khas berkaitan industri pertanian dan Kementerian Kerja Raya juga mempunyai sijil-sijil khas berkaitan industri binaan.

Melihatkan keadaan itu, katanya, tidak hairanlah majikan yang berhajat menggaji graduan TVET menjadi keliru.

“Akhirnya, negara akan kerugian kerana tidak mampu melahirkan tenaga mahir yang mencukupi sehingga boleh menyababkan peluang pekerjaan berasaskan kemahiran yang ada dalam pasaran tidak dapat diisi oleh kalangan yang benar-benar layak,” katanya.

LEWAT SERTAI INDUSTRI

Ahmad Tajudin juga menyentuh format sistem pendidikan negara yang kurang mesra TVET hingga menyebabkan graduan tempatan lewat memasuki pasaran kerja berbanding graduan TVET di negara-negara lain.

“Lepasan SPM pada usia 18 tahun baru nak sambung belajar. Lepas tiga tahun, baru selesai pengajian dan masuk industri pada umur 21 tahun. Bagi Kolej Vokasional pula, pelajar menyertainya pada umur 16 tahun dan tamat belajar ketika umur 20 tahun. Pada usia sebegitu, jika dibandingkan dengan negara-negara lain, kita sudah terlewat (dalam menyertai industri),” katanya.

Di luar negara, tenaga kerja teknikal dan vokasional memasuki institusi-institusi latihan seawal usia 15 tahun dan mula bekerja ketika berumur 18 tahun. Antara negara yang menggunakan model itu ialah Austria dan Jerman.

Di Singapura, graduan TVET boleh menyertai sektor industri seawal usia 19 tahun.

Ahmad Tajudin berkata kajian ke atas pelajar yang memasuki alam persekolahan (Darjah Satu) pada 2006 yang kemudiannya tamat Tingkatan Lima pada 2016 menunjukkan fakta yang mengejutkan.

Daripada 500,178 pelajar yang mendaftar pada 2006, hanya 70.2 peratus iaitu 352,756 menamatkan pelajaran dengan Sijil Pelajaran Malaysia. Ini bermakna negara kehilangan kira-kira 30 peratus pelajar dalam sistem persekolahan formal sepanjang proses itu.

“Buat masa sekarang, hanya 6 peratus pelajar masuk ke TVET. Apa yang akan terjadi kepada lebihan 24 peratus pelajar lagi Bukankah baik jika kita dapat salurkan kesemua 30 peratus pelajar itu ke TVET” soalnya.

Beliau menjelaskan tidak semua pelajar dapat menerima pendidikan akademik, oleh itu, peluang memasuki bidang TVET perlulah dibuka dengan meluas bagi memberi pilihan kepada pelajar.

Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.