Lelaki culas bayar nafkah mungkin kena sekatan bank

Kerajaan bercadang untuk mengetatkan lagi peraturan berkaitan nafkah bagi mengekang lelaki atau suami yang culas melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata antara langkah yang sedang dipertimbangkan ialah mengenakan sekatan bank ke atas lelaki yang tidak membayar nafkah buat anak-anak atau bekas isteri mereka.

Menurut Mujahid, perbincangan dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri sudah diadakan bagi melaksanakan tindakan tersebut.

“Perkara ini telah dibincangkan diperingkat JKSN, juga diperingkat kami (kementerian) dan saya harap penguatkuasaan itu akan dipertingkatkan termasuk melibatkan isu sekatan bank.

“Kita perlukan sedikit penguatkuasaan ke atas suami-suami yang liat membayar nafkah untuk bekas isteri,” katanya seperti dipetik Sinar Online.

Terdahulu anggota parlimen Parit Buntar itu menghadiri sesi pertemuan Tadbir Urus Maqasid Syariah di Putrajaya, hari ini.

Kata Mujahid ramai kalangan wanita yang tidak diberi keadilan dari sudut nafkah walaupun sudah diputuskan oleh mahkamah syariah.

“Kebanyakan bekas isteri tiada tempat untuk mengadu dan terdapat kelemahan dari segi penguatkuasaan.

“Oleh itu saya harap penguatkuasaan juga mesti ditumpukan kepada soal keluarga yang mana wanita-wanita yang diceraikan banyak sekali tidak mendapat hak mereka bila bekas suami ini berasa mereka tidak dikuatkuasakan tanggungjawab mereka untuk memberi nafkah,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.