Laporan: Pertuduhan baru ke atas Najib, 2 bekas menteri

Bekas perdana menteri Najib Razak, dua menteri, dan seorang bekas timbalan menteri, selain tiga yang lain dilaporkan akan berdepan pertuduhan dalam masa terdekat.

Berita Harian melaporkan Najib, bekas pegawainya, dan seorang bekas menteri akan berdepan dakwaan berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi sekolah di Sarawak.

Jun lalu, Malaysiakini melaporkan Najib didakwa memberi arahan kepada Kementerian Pendidikan pada 2007 untuk melantik secara langsung sebuah syarikat bagi projek hibrid solar bagi membekalkan elektrik kepada 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Pegawai khas kepada Najib dan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid sebelum ini disoal siasat oleh SPRM berhubung kes berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi bekas menteri dijangka disoal siasat berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor pada bulan lalu mendedahkan bahawa beliau disoal siasat SPRM sebanyak 12 kali berhubung siasatan penjualan tanah DBKL.

Bagi individu bekas timbalan menteri pula, dakwaan ke atasnya dijangka berhubung dakwaan penyelewengan RM25 juta dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Seorang anggota parlimen juga sebelum ini didakwa akan berdepan dakwaan mengaut keuntungan berjuta ringgit dengan mengambil komisen dari projek kerajaan BN.

Sementara itu, New Straits Times semalam melaporkan, bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad juga dijangka berdepan dakwaan menyalahgunakan kuasa ketika menerajui syarikat berkaitan kerajaan itu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.