Kemenangan Mohamad di DUN Rantau tidak sah

RASAH 16 Nov. Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar yang mengarahkan pilihan raya kecil diadakan selepas kerusi DUN berkenaan dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada 28 April lalu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas calon PKR bagi kerusi DUN itu, Dr. S. Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu bagi mencabar keputusan di kerusi tersebut.

Pakar bius berusia 63 tahun itu selaku pempetisyen menuntut perintah supaya satu pilihan raya kecil diadakan dengan serta-merta setelah mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Beliau menamakan Mohamad yang juga calon Barisan Nasional (BN) sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketiga.

Dalam PRU-14, Mohamad diumumkan menang selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan disebabkan tidak mempunyai pas SPR.

Streram diwakili empat peguam diketuai Hanif Kathri manakala Mohamad yang merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan diwakili lima peguam diketuai Datuk Hafizam Harun dalam perbicaraan yang menyaksikan seramai 19 saksi memberi keterangan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.