Felda komited hapuskan ulat bungkus

FELDA sedang melakukan usaha berterusan bagi memastikan serangan ulat bungkus di Felda Besout dapat diatasi.

Pengurus Besar Felda Wilayah Trolak, Mohd Ridzuan Mohd Nor berkata, proses bancian secara terperinci sedang dilakukan pihaknya bagi mengenal pasti waktu sesuai untuk meracun dan melaksanakan kawalan ulat bungkus.

“Dalam tempoh dua bulan ini kami sedang giat menjalankan proses bancian dan ada tempat yang sudah diracun untuk memastikan ulat bungkus ini tidak terus merebak.

“Sebaik sahaja serangan dikesan, adalah penting untuk memastikan peringkat populasi bagi menjangka peningkatan semula populasi dan masa kawalan jika diperlukan.

“Setakat ini juga ada kawasan yang telah kami racun dan ia menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Menurutnya, kepakaran Felda Agricultural juga digunakan dalam proses bancian tersebut selain memastikan proses kawalan ulat bungkus dapat diatasi secara menyeluruh.

Sementara itu, kata Mohd Ridzuan, papan tanda juga akan diletakkan di setiap Felda Besout untuk memberitahu peneroka perkembangan semasa proses menghapuskan ulat bungkus itu.

“Kita akan letakkan papan tanda keluasan ladang yang masih diserang ulat bungkus dan kawasan yang sudah kami berjaya basmi.

“Ia sebagai inisiatif supaya peneroka tahu apa yang kami sedang usahakan dan dalam masa sama kami tidak menyembunyikan sebarang maklumat daripada umum,” katanya.

Jelas Mohd Ridzuan, beliau yakin serangan ulat bungkus di Felda Besout dapat diatasi dengan mengambil kira keupayaan Felda mengatasi masalah tersebut di beberapa kawasan sebelum ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.