Peneroka Felda terbeban hutang

AHLI Majlis Permuafakatan NGO Felda, Datuk Zulkifli Nordin berkata, suatu ketika dahulu peneroka Felda dikatakan hidup senang apabila harga komoditi kelapa sawit dan getah melambung di pasaran dunia namun suasana itu berbeza sekarang.

Beliau yang juga generasi kedua Felda Soeharto berkata, pada masa ini, keadaan memang teruk kerana hasil kelapa sawit yang berkurangan dan harganya rendah.

“Hasil diperoleh itu pula perlu ditolak pelbagai hutang dengan Felda. Masalah hutang ini juga menyebabkan peneroka tidak berpuas hati dengan Felda kerana tidak mendapat penyata. Jika ada pun, penyata itu mengelirukan,” katanya.

Beliau yang juga Penasihat Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Ke-2 Felda (SGK2F) berkata, penyelesaian isu ini dipayahkan dengan tiadanya mekanisma pengurusan penyata hutang yang mudah difahami peneroka dan anak-anak mereka.

Zulkifli berkata, penyata yang mereka terima menyebabkan mereka terkejut kerana jumlahnya yang tidak munasabah dan tiada bukti rekod penyebab hutang.

“Sebagai anak peneroka, kami tak boleh tengok mak ayah begitu. Ketika kami bertemu peneroka di Felda Bukit Aping Timur, seorang warga emas dalam usia 80 tahun pegang slip hutang pun dengan tangan menggeletar.

“Seorang peneroka misalnya mempunyai hutang RM36,000 pada 2010 sebelum pengurusan ladang diambil alih oleh Felda Technoplant (FTP). Tetapi pada Oktober 2018 lalu ketika kami turun ke Felda tersebut untuk program memuktamadkan penyata hutang, sudah mencecah RM75,00.

“Perkara seperti ini menjadi isu kerana dalam tempoh 2010 hingga 2018 kerajaan lama (BN) telah menyediakan insentif RM5,000 untuk peneroka,” katanya.

Katanya lagi, baru-baru ini mereka menghubungi Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Osman bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Kami lihat seperti tak ada ‘link’ antara Felda dan FTP. Felda sepatutnya ada data yang boleh membantu cara selesai isu hutang. Pengarah Besar Felda yang baharu ini telah mengambil perhatian isu hutang peneroka yang dibangkitkan. Nampaknya beliau mendengar masalah anak-anak peneroka dan cepat bertindak.

“Hasil campur tangan pengurusan baharu ini nampaknya membuka ruang untuk masalah hutang ini diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu Felda dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan bahawa usaha untuk mengeluarkan penyata hutang peneroka yang dimuktamadkan bermula sejak Disember 2016 lagi.

“Proses memuktamadkan penyata hutang adalah satu proses yang berterusan kerana kegiatan tanam semula kebun peneroka dijalankan secara berperingkat, bukannya serentak.

“Kesemua peneroka yang dimuktamadkan hutang sudah menerima penyata hutang setiap suku tahun yang diedarkan oleh Pengurusan Rancangan Felda,” kata kenyataan itu.

Felda menjelaskan penyata hutang terbahagi kepada dua iaitu Penyata Hutang Interim (penyata hutang yang belum dikunci) dan Penyata Hutang Dimuktamadkan (penyata hutang yang sudah dikunci).

Penyata Hutang Interim merangkumi hutang pembangunan kebun manakala Penyata Hutang Dimuktamadkan merangkumi hutang pembangunan kebun, hutang sosio ekonomi dan hutang baja.

“Penyata Hutang Interim adalah penyata hutang peneroka bagi tempoh tahun pertama hingga tahun kelapan semasa program tanam semula berjalan.

Ianya akan dimuktamadkan pada tahun kesembilan selepas Pengurusan Rancangan Felda mendapat persetujuan bersama dengan Ahli Jawatankuasa Tanam Semula yang terdiri daripada peneroka rancangan yang terbabit dalam program tanam semula terbabit,” katanya.

Antara masalah dihadapi peneroka Felda

1. Hutang tanam semula purata lebih RM100,000

2. Masalah pinjaman sara hidup

3. Bayaran bukan dalam bulan semasa

4. Harga komoditi kelapa sawit dan getah jatuh

5. Harga barang tinggi tak setimpal pendapatan

6. Ada peneroka terlibat hutang perumahan Felda

7. Isu serangan ulat bungkus kepada tanaman kelapa sawit

8. Pengurusan ladang tidak cekap

9. Perubahan cuaca

– Sinar Harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.