Ternakan lembu tenusu di ladang kelapa sawit FGV

TEMERLOH: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan menjalinkan kerjasama dengan Felda Global Ventures Holdings (FGV) untuk membangunkan projek ternakan lembu tenusu di Pahang, bagi menampung bekalan susu segar dalam negara.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman, berkata menerusi kerjasama itu diharap dapat menampung pengeluaran susu dalam negara memandangkan ketika ini pengeluarannya hanya sekitar 30 peratus.

Katanya, LPP akan berbincang dan bekerjasama dengan FGV yang mempunyai keluasan tanah yang besar di Pahang serta boleh dimanfaatkan bagi menambah pendapatan peladang yang berhadapan kejatuhan harga komoditi kelapa sawit ketika ini.

“Jika berjaya dilaksanakan, ini boleh menjadi sumber kekayaan baharu kepada peladang kita,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke projek Ternakan Lembu Tenusu milik Usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh, Rosselmee Said, di Kampung Tanjung Besar di sini, hari ini.

Mazlan dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke Pahang dengan lawatan ke PPK Pekan, Kuantan, Temerloh dan berakhir dengan PPK Cameron Highlands.

Yang turut hadir, Pengarah LPP Pahang, Datuk Sawalludin Ahmad dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang, Dr Akma Ngah Said.

Mazlan berkata, LPP juga bersedia bekerjasama dengan Rosselmee, usahawan lembu tenusu di Temerloh bagi membantu usahawan baharu yang berminat menceburi bidang tersebut sekali gus dapat menambah bilangan usahawan.

“Ia turut menepati saranan kerajaan dan di bawah pelan transformasi pertanian yang kini mempunyai teknologi pengggunaan mesin perahan bukan lagi secara manual dan kita akan setanding dengan negara luar,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, LPP juga akan menjalankan kajian dan mengadakan kerjasama dengan FELDA bagi mengenalpasti tanaman sampingan yang bernilai tinggi yang mampu dijadikan pendapatan baharu kepada peladang.

“Sebagai contoh, dalam lawatan kerja ke Benut, Johor terdapat pengusaha yang menanam sayur pucuk manis dalam kebun kelapa sawit berkeluasan 2.428 hektar serta mampu mengeluarkan sebanyak tiga tan sebulan dengan pendapatan RM9,000 sebulan.

“Jika berjaya meraih jumlah sedemikian, bagi saya bukan lagi tanaman sampingan bahkan boleh menjadi pendapatan utama, ini adalah contoh saya akan bincangkan dengan FELDA bagi peladang mengembangkan hasil mereka,” katanya.-Berita Harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.