Peruntukan Khas Menyelesaikan Tunggakan Bayaran Pinjaman

FELDA mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan diatas peruntukan khas RM77 juta yang diumumkan melalui Kementerian Kewangan semalam. Penghargaan juga kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang turut telah membantu dalam menangani isu ini segera. Peruntukan tersebut adalah bagi menyelesaikan tunggakan-tunggakan bayaran pinjaman sara hidup dan pinjaman pendahuluan hasil kepada seramai 38,000 orang peneroka, bayaran tunggakan kepada agen pengurusan Tanam Semula (Felda Technoplant Sdn Bhd) dan juga bayaran khairat kematian kepada 120 waris peneroka. Semua bayaran ini akan dilaksanakan segera selepas penerimaan peruntukan daripada Kementerian.

Pada masa ini FELDA membantu pengurusan kebun 76,414 orang peneroka dengan keluasan keseluruhan 292,252 hektar. Daripada jumlah tersebut seramai 38,000 orang peneroka menerima pinjaman sara hidup dan pinjaman pendahuluan hasil dimana bagi tahun semasa 2018, sebanyak RM500 juta diperlukan bagi tujuan pembayaran pinjaman tersebut yang sehingga kini dibiayai melalui sumber dalaman FELDA.

Masalah aliran tunai FELDA disebabkan oleh ketidakseimbangan (mismatch) dalam aliran tunai sekarang yang mana FELDA tidak mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk menampung komitmen bayaran yang tinggi. Antara faktor lain, keadaan semasa pasaran yang lemah turut menyebabkan penjualan-penjualan aset tidak dapat dilaksanakan segera bagi mengelakkan kerugian. Ia dibebankan lagi dengan kejatuhan harga CPO yang turut menjejaskan kutipan hutang peneroka kerana FELDA mengamalkan dasar pendapatan minima dimana pendapatan dibawah RM1,000 tidak akan ditolak pinjaman pembangunan kebun.

FELDA komited untuk menangani isu ini dan sedang mencari pelbagai penyelesaian bagi mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapinya selain sedang merangka model perniagaan yang mampan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.